Saturday 22 October 2016

Selamat Tinggal


Aku memandang kerusi dan meja yang kosong di sebelahku. Hatiku tiba-tiba bertukar hiba. Tempat duduk di sebelahku tidak lagi berpenghuni sejak dia pergi meninggalkan kami. Aku masih lagi ingat. Dua bulan yang lalu, Syahrin sedang duduk di situ, memerah otaknya untuk menjawab kertas soalan percubaan Matematik Tambahan. Dia berasa lega sebaik sahaja peperiksaan hari itu tamat. Aku dan rakan-rakan baikku pergi ke gerai kegemaran kami yang terletak bersebelahan dengan sekolah selepas waktu persekolahan berakhir. Sebaik sahaja tiba di gerai tersebut, kami berempat mengambil tempat duduk masing-masing lalu memesan mi goreng dan air limau sejuk seperti biasa. Syahrin memesan dua gelas air limau. Menurutnya, dia amat dahaga memandangkan dia terlupa membawa botol airnya ke sekolah pada hari itu. Sebaik sahaja minuman kami tiba, Syahrin meneguk air limau sejuknya dengan cepat. Aku dan Azraei ketawa melihat kelakuannya. Shafiq tidak mempedulikannya. Dia menongkat dagu di atas meja lalu melepaskan keluhan berat.
            
"Aku betul-betul tak yakin dengan jawaban aku tadi," ujar Shafiq. Dia kelihatan tidak gembira.
             
"Apa yang dah berlalu tak usahlah dikenang kembali. Hidup mesti diteruskan," ujar Syahrin, persis seorang ahli falsafah. Aku tersenyum lalu menepuk-nepuk bahu Shafiq.
             
"Aku yakin kau buat dengan baik. Percayalah," ujarku. Shafiq mengukir senyuman dengan berat hati.
             
"Oh,ya! Lupa aku nak bagitau kamu. Cikgu Fuad kata tempat untuk perlawanan catur peringkat kebangsaan dah ditetapkan." Kata-kata Azraei menarik perhatian kami.
             
"Di mana?" soal Syahrin.
             
"Cuba teka?" Azraei mula berteka-teki dengan kami.
             
"Selangor," tekaku. Azraei menggeleng-gelengkan kepala.
             
"Perak." Kini giliran Syahrin pula meneka. Sekali lagi Azraei menggelengkan kepalanya.
             
"Di mana tu?" Shafiq kelihatan seperti sudah hilang sabar. Dia mengerutkan dahi.
             
"Sarawak," jawab Azraei, membuatkan kami bertiga terlopong seketika.
             
"Sa..rawak?" soal Syahrin bagaikan tidak percaya. Azraei mengangguk-anggukkan kepala sambil tersenyum lebar.
             
"Maksudnya, kita naik kapal terbanglah, kan?" soal Syahrin dengan teruja.
             
"Mestilah, takkan nak naik feri pula?" Azraei menyoal sambil ketawa.
             
"Wah! Aku dapat naik kapal terbang akhirnya! Dapatlah aku berlagak depan sepupu aku si Khairul tu nanti. Kamu tahu dia tu suka berlagak, kan?" Syahrin benar-benar gembira memandangkan dia tidak pernah menaiki kapal terbang sebelum ini.
             
Aku cuma tersenyum. Bukannya sehari dua aku berkenalan dengan Syahrin. Sudah hampir 7 tahun kami bersahabat. Sejak sekolah rendah lagi. Aku masih lagi ingat sewaktu kali pertama aku bertemu Syahrin. Waktu itu aku baru sahaja berpindah ke Sekolah Rendah Sri Kenanga. Aku tiada kawan. Aku juga tidak mengenali sesiapa di sekolah itu. Syahrinlah orang yang mula-mula menghulurkan tangan tanda persahabatan denganku. Diikuti dengan Azraei, yang kami gelar sebagai 'Raja Lawak', dan Shafiq, si lelaki yang emosional. Mereka berdua yang merupakan teman rapat Syahrin akhirnya menjadi teman rapatku juga. Aku amat gembira apabila mendapat tahu kami berempat dapat memasuki sekolah menengah yang sama. Hingga ke hari ini, aku sangat bersyukur kerana mempunyai sahabat seperti mereka. Sahabat yang tidak dapat digantikan.
             
Mi goreng yang kami pesan tiba tidak lama kemudian. Syahrin, dengan garpu dan sudu di kedua-dua tangan, terus melahap mi tersebut. Sesekali dia terbatuk-batuk kerana tercekik. Aku ketawa sambil menepuk-nepuk belakangnya, dalam usaha membantunya menelan mi goreng itu.
             
Selepas makan, kami membayar harga makanan dan minuman lalu berjalan pulang ke rumah. Aku berjalan pulang bersama Syahrin memandangkan rumahku terletak tidak jauh dari rumahnya. Rumah Azraei dan Shafiq pula tidak terletak di haluan yang sama dengan kami berdua. Sepanjang perjalanan pulang, Syahrin tidak henti-henti menyatakan rasa terujanya kerana berpeluang menaiki kapal terbang ke Sarawak. Aku yang menjadi pendengar setia cuma mengiyakan sahaja kata-katanya.
             
"Oh, ya! Tak lama lagi aku akan ada adik," Syahrin akhirnya membuka topik lain setelah 10 minit bercerita tentang rasa terujanya untuk menaiki kapal terbang.
             
"Tahu. Hari-hari kau cakap pasal tu," ujarku sambil memandangnya. Dia tersengih.
             
"Ya, tapi aku tak ada cakap kan mereka perempuan?" soalnya. Aku mengerutkan dahi.
             
"Mereka?" soalku.
            
"Ya. Adik aku kembar perempuan." Senyuman Syahrin melebar hingga ke telinga.
             
"Wah, seronoklah kau ya," ujarku.
             
"Yalah, nampaknya aku jadi macam Kurosaki Ichigolah, kan?" Entah kenapa soalan itu yang terkeluar dari mulut Syahrin. Barangkali dia banyak terpengaruh dengan animasi Jepun agaknya.
             
"Kau ni memanglah, Rin. Bangga aku ada kawan baik macam kau ni..." pujiku dengan sengaja. Syahrin ketawa.
            
"Kita ni, dah macam adik-beradik, kan?" soalnya sebaik selesai ketawa.
             
"Ya. Tapi, kau tak boleh jadi abang aku, belum matang lagi," ujarku.
             
"Aku lahir dulu tau..." Syahrin memprotes.
             
"Yalah, yalah." Aku akhirnya mengalah.
             
"Mikhail," Syahrin memanggil namaku. Aku memandangnya. Agak hairan juga aku kerana dia memanggil nama penuhku. Biasanya dia akan memanggilku 'Mikh' sahaja. Sekiranya dia memanggilku dengan nama penuh, pasti dia ada sesuatu yang penting untuk diberitahu.
            
"Ada apa?"
            
"Aku…aku rasa macam kita akan terpisah tiba-tiba…" ujarnya perlahan. Aku mengerutkan kening. "Baru-baru ni aku rasa macam, otak aku kosong. Kadang-kadang bila aku tengah buat sesuatu, aku tiba-tiba lupa apa yang aku tengah buat. Pelik, kan?" Dia menyoalku sebelum tersengih kembali.
            
"Kau stres sangat ni. Tahun ni kita ada SPM. Mungkin sebab stres, fokus kau kadang-kadang hilang." Aku cuba untuk menyedapkan hatinya.
             
"Hahaha. Mungkin kot." Dia mengukir senyuman.
             
"Kita dah lama berkawan. Bila aku ada masalah, kau, Azraei, dan Shafiq mesti akan tolong aku," ujarnya. Aku mengerutkan dahi. Mengapa Syahrin tiba-tiba bercakap tentang hal ini?
            
"Kau ada masalah ke?" soalku ingin tahu.
             
"Tak ada. Tapi, aku rasa, aku dah banyak susahkan korang semua." Nada suara Syahrin semakin perlahan. "Maaf ya..."
             
"Kenapa kau tiba-tiba emosional sangat ni?" soalku.
             
"Tak adalah. Oh ya, ada satu perkara aku nak minta tolong kau!"
             
"Apa dia?" Aku menyoal. Entah kenapa hari ini aku banyak menggunakan ayat soal.
             
"Esok boleh tak kau tolong aku ambilkan basikal aku di kedai basikal yang kita pergi hari tu?"
             
Aku memandang Syahrin. Matanya yang penuh dengan harapan itu membuatkan aku tidak sampai hati untuk menolak permintaannya.
             
"Kau sibuk ke esok?" tanyaku. Syahrin menundukkan muka seketika sebelum memandangku kembali.
             
"Aku mungkin tak sempat nak ambil. Jadi, kau tolong ambilkan, ya. Aku dah bayar kos membaikinya jadi tak payahlah kau risau," jelas Syahrin.
             
"Okey. Nanti petang esok aku hantar ke rumah kau," ujarku. Syahrin tersenyum.
             
Kami akhirnya tiba di sebuah simpang.
             
"Aku pergi dulu, Mikh. Selamat tinggal," ujar Syahrin lalu berjalan membelok ke kanan.
             
"Jumpa esok di rumah kau!" jeritku sambil melambaikan tangan. Syahrin langsung tidak menoleh ke belakang seperti kebiasaannya. Aku tersenyum lalu membelok ke kiri simpang tersebut. Pada waktu itu, aku langsung tidak menyedari yang dia pergi jauh dari sini, meninggalkan kami buat selama-lamanya.
                                                                         *****          
Malam itu aku mengulangkaji seperti biasa di bilikku. Aku membuka radio dengan kuat memandangkan ibu bapaku tidak berada di rumah kerana menghadiri majlis makan malam. Kakakku pula sedang menonton drama Korea di ruang tamu. Pasti banyak tisu yang akan dihabiskannya malam ini memandangkan dia biasanya akan menangis ketika menonton drama. Nampaknya menonton drama pun kena masuk dalam bajet keluarga mulai sekarang. Tisu bukannya percuma.
             
Ketika sedang leka belajar sambil mendengar muzik, aku tidak sedar yang telefon bimbitku berdering. Dua jam kemudian,aku akhirnya bangun daripada meja belajarku untuk ke tandas. Aku memperlahankan bunyi radio di bilikku. Baru sahaja kakiku masuk ke dalam tandas, telefon bimbitku berdering. Aku segera berlari mendapatkannya dan mendapati pemanggilnya ialah Syahrin. Aku segera menjawab panggilan tersebut namun, bukannya suara Syahrin yang aku suara ibunya, Makcik Azizah.
             
"Assalamualaikum Mikhail. Kamu ke tu?" soal makcik Azizah di hujung talian.
             
"Waalaikumsalam. Mikhail ni, makcik," ramah aku menjawab soalan makcik Azizah. "Kenapa makcik telefon?" soalku hairan, memandangkan bukan Syahrin yang menelefonku, sebaliknya ibunya.
             
"Mikhail, Syahrin kemalangan. Dia dilanggar kereta," jawab makcik Azizah. Suaranya tersekat-sekat. Aku dapat mendengar bunyi esakan di sebalik suaranya. Aku menarik nafas dalam-dalam dan cuba untuk menenangkan diriku.
             
"Mak cik, bertenang. Bertenang, mak cik," pintaku.
             
"Dia dah meninggal Mikhail. Dia dah tinggalkan kita..." Kata-kata mak cik Azizah bagaikan meteorit yang menghempap kepalaku. Aku tidak percaya dengan apa yang aku dengar. Aku takkan percaya!
            
"Jenazahnya dihantar di Hospital Sentosa. Malam ni kami akan bawa arwah balik...Pagi esok dia akan dikebumikan..." ujar makcik Azizah. Esakannya jelas kedengaran di setiap bait katanya.
             
Arwah? Syahrin sudah menjadi arwah? Jangan bergurau!
             
Tanpa membuang masa, aku berlari keluar dari bilik dan menuruni anak-anak tangga dengan pantas. Aku kemudian mengambil kunci kereta di atas meja lalu menuju ke luar rumah. Aku menghidupkan enjin dengan segera lalu memecut laju di atas jalan raya.
                                                                        *****
Sebaik tiba di hospital, aku berlari dengan laju menuju ke bahagian kecemasan. Setibanya aku di sana, aku melihat Azraei dan Shafiq telah berada di situ bersama-sama dengan ibu bapa Syahrin serta abang dan kakaknya.
             
Shafiq sedang menutup mukanya dengan kedua-dua tangan. Azraei memandangku dengan linangan air mata. Bapa Syahrin, pakcik Mahmud kemudian mendekatiku.
             
"Pergilah tengok Syahrin," ujarnya perlahan sambil menunjukkan arah katil Syahrin. Aku melangkah ke katil yang ditunjukkan dengan perlahan. Entah kenapa kakiku tiba-tiba terasa berat untuk melangkah. Barangkali mereka juga tidak ingin menghadapi kenyataan ini.
             
Aku terkejut tatkala melihat wajah Syahrin. Wajahnya yang penuh dengan kesan luka itu membuatkan aku hampir pengsan. Mimpi. Ya, aku pastinya bermimpi. Semua ini cumalah mimpi, bukan? Bila aku bangun esok, aku akan terus ke kedai basikal tersebut dan singgah ke rumah Syahrin untuk memulangkan basikalnya semula. Kemudian akan aku ceritakan mimpi ini kepadanya. Pasti Syahrin mentertawakan aku kerana bermimpikan dia dalam keadaan sebegitu rupa. Dia pasti akan tersenyum padaku kembali, sambil memberitahu aku yang dia tidak akan mati selagi dia belum menjadi seorang doktor. Aku pasti itu.
             
Semua ini, pasti mimpi sahaja. Namun, jika ianya cuma mimpi, mengapa mataku terasa hangat? Mengapa ada air jernih keluar daripada mataku?
             
Aku menyentuh muka Syahrin dengan jari-jemariku. Semua ini mimpi bukan, Syahrin? Kau pasti akan ketawakan aku bila aku beritahu kau pasal mimpi ini, kan? Tapi mengapa mimpi ini terasa benar? Mengapa air jernih tidak henti-henti mengalir daripada mataku?
*****
Aku melihat pemandu kereta yang melanggar Syahrin tidak putus-putus mengucap maaf kepada ayah dan ibu Syahrin. Dia juga memberitahu dia tidak sengaja melanggar Syahrin  yang ketika itu tiba-tiba sahaja berlari melintas jalan menuju ke taman permainan.
             
Ya, taman permainan yang menjadi tempat berkumpul aku, dia, Shafiq, dan Azraei sewaktu kami berada di sekolah rendah. Selepas kami memasuki tingkatan dua, kami sudah hampir tidak pernah pergi ke taman permainan itu lagi. Kenapa Syahrin tiba-tiba pergi ke situ?
*****
Aku menyiram air mawar di atas tanah pusara. Sehingga kini aku masih lagi tidak dapat menerima yang pusara itu milik Syahrin. Rupanya, ini bukannya satu mimpi. Syahrin benar-benar meninggalkan kami. Dia tidak akan kembali lagi. Kami tidak dapat mendengar gelak tawanya lagi, mahupun suara sumbangnya tatkala menyanyikan lagu Maher Zain. Kami takkan dapat melihat dia lagi. Namun begitu, dia sentiasa berada di dalam ingatan.
             
Pada saat ini, barulah aku memahami maksud kata-katanya semalam yang dia takkan sempat mengambil basikalnya hari ini. Juga, sewaktu dia mengatakan yang dia akan pergi, dia benar-benar pergi, bukan untuk seketika namun buat selama-lamanya. Ucapan selamat tinggalnya pada hari itu, adalah ucapan terakhirnya padaku. Dia benar-benar meninggalkan aku. Rasa menyesal tiba-tiba mengulit diri. Sekiranya waktu itu aku mengajak Syahrin mengambil basikalnya bersama denganku, mungkin dia masih hidup sekarang ni. Dia pasti masih lagi berada di sini. Dia tidak akan kemalangan. Dia tidak akan meninggalkan kami.
             
Aku tahu salah bagiku untuk berfikir sebegini namun, aku tidak dapat melenyapkan perkara ini daripada mindaku. Semakin aku memikirkan tentangnya, semakin aku sedih. Aku menyeka air mata yang bercucuran dengan lengan bajuku. Aku kini telah kehilangan seorang sahabat yang amat penting dalam hidupku. Dia sentiasa berada di sisiku tidak kira susah atau senang. Dia sentiasa membuat aku tertawa ketika aku berduka. Dia sentiasa memberikan aku semangat ketika aku ingin mengaku kalah. Dia sentiasa di sisiku...
             
“Simpan aku dalam memorimu sentiasa…kenanglah aku dalam setiap doamu, sahabat…”
             
Aku tersentak. Itu suara Syahrin. Aku pasti itu bukannya suara yang dicipta oleh imaginasiku. Perlahan-lahan aku mendongakkan kepala menatap langit nan biru.
             
Syahrin, lihatlah. Langit begitu biru hari ini. Warna kegemaran kau. Kau pasti sedang tersenyum di sana bukan, Syahrin?
*****
Wisel ditiup dengan kuat, menandakan waktu menjawab telah tamat. Aku segera mengumpulkan kertas jawabanku dan mengikatnya dengan benang yang diberikan. Tidak lama kemudian, seorang pengawas peperiksaan datang dan mengambil kertas jawabanku. Setelah dia mengumpulkan semua kertas jawaban kami, dia memberitahu kami boleh keluar dari dewan peperiksaan. Sebelum keluar, aku mendekati meja dan kerusi bersebelahan mejaku. Tempat duduk tersebut adalah milik Syahrin. Syahrin sepatutnya menduduki Sijil Pelajaran Malaysia bersama kami. Hari ini merupakan hari terakhir peperiksaan. Kami sepatutnya meraikannya dengan pergi ke rumah Syahrin untuk barbeku malam ini. Semua ini merupakan cadangan Syahrin. Namun, ia tidak dapat dilaksanakan lagi memandangkan dia sudah tiada. Jadi, hari ini aku, Azraei dan Shafiq merancang untuk melawat pusara Syahrin dan menyedekahkan surah Yassin kepadanya.
             
Walaupun kami tidak dapat bertemu dengannya lagi, kami tetap berharap yang rohnya tenang di alam sana. Syahrin Azfar Bin Mahmud, kau merupakan sahabat yang tidak dapat digantikan. Semoga rohmu dicucuri rahmat dan cahaya ilahi. Amin...

oleh Farhanah Atiqah

No comments:

Post a Comment