Aku menyedut jus oren
perlahan-lahan. Sambil itu, mataku tidak lekang daripada memerhati ekspresi
wajah lelaki di hadapanku. Lelaki berambut coklat tua itu sedang tekun membaca
helaian demi helaian draf awalan novel yang aku tulis. Sesekali dahinya
berkerut, menandakan ada kecacatan pada plot. Aku sudah terbiasa dengan keadaan
itu.
30 minit kemudian, dia meletakkan
kertas terakhir di atas meja. Aku lantas merapatkan tubuh pada meja. Jarak di
antara mukaku dengan mukanya kini kurang daripada 40 cm. Jantungku berdegup
pantas. Aku tidak sabar mahu mendengar pendapatnya mengenai draf ini. Walaupun
baru 15 bab, draf ini aku tulis dengan penuh perasaan. Aku mahu komen yang
positif daripadanya.
“Ma…macam mana?” Aku menyoal.
Lelaki itu tidak menjawab. Dia cuma
merenungku.
Aku mulai resah. Diam lelaki ini
bermakna ada banyak kepincangan dalam karyaku. Aku sudah maklum akan itu. Sudah
hampir 6 tahun lelaki di hadapanku ini menjadi pembaca pertama setiap rangka
novel yang aku tulis. Dan kerana dia menjadi pembaca pertama merangkap
pengkritik pertamaku juga, aku bisa memperbaiki karya-karyaku, sekaligus
menyelamatkan aku daripada menjadi bahan bebelan editorku.
Lelaki itu masih diam. Kemudian dia
menghela nafas. Sangkaku, dia mahu mengatakan sesuatu namun dia memalingkan
wajah ke arah lain, memandang ke luar tingkap kafe.
Aku tidak tahu sama ada dia sedang
berfikir atau tidak. Yang aku tahu, sudah 10 minit dia membuang pandangan ke
luar, melihat orang yang sedang lalu-lalang. Baru sahaja aku mahu memanggil
namanya, dia mengembalikan pandangannya padaku. Mata kami bertautan seketika.
Aku
mengetap bibir, merenung ke dalam anak matanya yang berwarna kelabu. Aku cuba
membaca raut wajahnya, meneka apa yang terbuku di dalam hati lelakinya. Namun
setiap kali itu juga cubaan aku gagal. Ekspresi wajah yang kosong dan bagaikan
robot itu tidak bisa aku tafsirkan. Akhirnya aku mengaku kalah dan mengeluh
perlahan. Melihatkan reaksi aku itu, dia berdehem dua kali.
“Cerita ini, pasal cikgu sekolah
yang jatuh cinta dengan juruterbang, bukan?” dia menyoalku, mungkin untuk
kepastian.
Aku mengangguk. “Ya.”
“Dalam bab 2, awak tulis yang cikgu
sekolah tu bertemu dengan juruterbang buat pertama kali di dalam kapal terbang,
betul tak?”
Pelik, mengapa dia menyoal sesuatu
yang dia sudah tahu?
Namun aku mengangguk jua.
Dia menghela nafas.
“Tajuk draf ini, ‘Mr. Pilot, Kau
Pujaan Hatiku!’ Tapi kenapa semua bab dalam draf ni kecuali bab 2 langsung
tidak menunjukkan yang watak utama lelaki bekerja sebagai juruterbang? Tak ada
langsung cerita bagaimana dia menerbangkan pesawat. Yang ada cuma cerita dating
dia dengan cikgu sekolah itu sahaja. Pergi makan di restoran mahal, pergi
majlis makan yang high class, pergi pantai, dan pergi membeli-belah,” kritiknya.
Aku ingin mencelah, namun dia
memintas ayatku. “Oh ya, dan cikgu sekolah ini pun tak kelihatan seperti cikgu
sekolah. Setiap kali babak dia di sekolah, mesti waktu itu loceng terakhir
berbunyi, menandakan yang waktu sekolah sudah tamat. Tak ada babak dia ajar
murid-muridnya, hadiri mensyuarat dengan guru, atau berjumpa dengan ibu bapa
murid-murid. Memang cikgu sekolah di Malaysia macam tu ke? Kerja smooth sahaja
dan tak ada masalah?” Bertubi-tubi tembakan soalan yang dia tujukan ke arahku.
Aku pula tidak mampu menjawab soalannya. Lidahku bagaikan kelu mahu
berkata-kata.
Dia menyambung lagi, “Awak mesti tak
buat research pasal pekerjaan juruterbang dan cikgu sekolah, kan? Sebab
tu awak tak dapat huraikan pasal kerja mereka dengan baik dan meyakinkan.”
Okey, aku mengaku yang aku tidak
buat sebarang research mengenai kedua-dua pekerjaan ini. Aku cuma
bergantung kepada drama-drama cerita di dalam televisyen dan novel-novel yang
aku baca. Tapi itu tidak bermakna plot cerita yang aku tulis ini tidak menarik.
Hei, watak utama lelaki itu
juruterbang, tahu? Bukan setakat juruterbang biasa, tetapi juruterbang yang
budiman, romantis, dan sudah semestinya kacak! Bukan itu sahaja, dia juga
daripada golongan berada yang bangsawan, dengan nama ‘Tengku’ di hadapannya.
Nama kedua dan ketiganya pula ala-ala robot gitu, Iqbal Azfar.
Ramai wanita dan anak-anak gadis di
Malaysia mengimpikan perkahwinan dengan juruterbang yang sempurna seperti Iqbal
Azfar. Mereka tidak kisah jika mereka tidak tahu apa yang dilakukan oleh
juruterbang ketika mengendalikan pesawat. Mereka mahukan cerita yang boleh
memenuhi fantasi mereka. Sebab itulah aku menulis cerita ini!
“Kenapa diam?” soalnya kepadaku.
“Betul, kan?”
“Apa yang betul?” Kasar aku menyoal.
Kritikannya membuat hatiku panas.
Dia tersenyum. “Awak menulis untuk
memenuhi fantasi cinta wanita dan gadis-gadis di luar sana.”
Hebat! Dia boleh meneka apa yang aku
cuba lakukan.
Senyumannya semakin meleret. Dia
seolah-olah sedang mengejek aku. Saat ini kurasakan seperti mahu mencakar
mukanya. Namun aku tahankan sahaja rasa itu. Aku menarik nafas dalam-dalam,
cuba menenangkan diri. Kemudian aku larikan wajahku daripada terus memandangnya.
Pandangan kini kulontarkan ke luar tingkap, kepada orang yang sedang
lalu-lalang di luar sana.
Aku seperti terdengar keluhannya.
“Awak tak pernah tulis cerita macam
ni. Awak biasanya tulis cerita yang aneh dan ganjil, genre triler dan misteri.
Kenapa tiba-tiba awak tulis cerita cinta?” Suaranya dalam dan tenang sahaja
tatkala mengajukan soalan tersebut. Bagaikan air, suara itu menyimbah api di
dalam hatiku.
“Zafirah…” Lembut dia memanggil
namaku. “Perhatikan lelaki dan perempuan yang sedang berpegangan tangan itu.”
Aku mengacukan pandangan pada
seorang lelaki bertubuh rendah dan agak berisi. Tangannya mengenggam tangan
pasangannya, seorang wanita bertubuh tinggi dan kurus. Mereka sedang berjalan
sambil berbual. Sesekali wanita itu tertawa, dia kelihatan bahagia. Aku
mengukir senyuman.
“Saya pasti lelaki itu bukan
juruterbang. Tapi lihat, walaupun lelaki itu bukan juruterbang, wanita di
sebelahnya itu gembira bersamanya. Dia tidak perlu menjadi seorang juruterbang
yang kacak dan romantis untuk menggembirakan pasangannya,” ujar lelaki di
hadapanku.
Aku memalingkan muka ke arahnya. Mataku
kini menatap setiap inci wajahnya.
“Awak tak perlu tulis sesuatu yang
awak tak suka. Jangan menulis untuk memuaskan hati orang lain. Apa yang awak
fikirkan semasa awak menulis cerita ini?”
Aku tertunduk. Gelas kaca berisi
ketulan ais batu kurenung lama. Aku lalu mengeluh.
“Saya nak meramaikan pembaca saya. Saya tulis
cerita cinta sebab tak ramai perempuan suka plot yang saya tulis aneh dan
ganjil yang saya tulis.” Aku berkata jujur.
“Ha…hahahahaha” Tawanya berderai.
Aku cepat-cepat memandang ke kiri dan ke kanan, mahu melihat andai tawanya itu
menarik perhatian pelanggan di situ. Beberapa orang lelaki yang duduk selang
beberapa meja daripada kami memandang ke arah kami berdua. Aku segera
menundukkan kepalaku, tanda meminta maaf. Salah seorang daripada mereka yang
kukira sebaya ayahku kemudian menaikkan tangan, menunjukkan thumbs up
kepada kami. Aku tidak faham kenapa dia berbuat sebegitu. Mungkinkah dia cuba
memberitahu aku yang dia tidak terganggu dengan tawa lelaki di hadapanku ini?
“Zafirah, Zafirah…”
“Kenapa?”
“Saya ingat sebelum ini awak cakap
awak menulis agar orang lain mendengar apa yang awak mahu sampaikan. Awak
pernah cakap yang suara awak tak dapat sampai kepada mereka. Sebab itu awak
gunakan medium penulisan untuk menyampaikan pendapat dan isi hati awak. Kenapa
tiba-tiba awak menulis untuk memuaskan hati orang pula? Di mana awak letakkan
pendirian awak?”
Soalannya kena tepat di hatiku.
Betul apa yang dia katakan. Mengapa
aku menukar diriku sendiri? Mana perginya pendirian aku? Sebelum ini, aku kerap
bertekak dengan editorku yang mahu aku menulis cerita cinta romantis dan klise.
Namun aku selalu sahaja membantah cadangannya. Entah kenapa hari itu bila dia
memberitahu yang jualan novel aku menurun, aku jadi gelabah. Aku jadi tidak
keruan. Dia juga memberitahu aku yang aku kekurangan pembaca perempuan. Lantas, dalam keadaan kelam-kabut aku terus
ke kedai buku untuk membeli beberapa buah novel cinta klise dan membaca mereka
satu-persatu. Terasa menyeksakan apabila harus membaca sesuatu yang kita tidak
suka.
Aku turut memaksa diri menonton
drama-drama cinta Melayu klise yang disiarkan di televisyen. Ada tajuk drama
ala-ala Islamik, namun di mana bahagian Islamiknya aku pun tidak tahu. Tidak
kurang juga dengan drama yang heronya kaya-raya namun apa yang dibuatnya cuma
duduk memikirkan gadis idamannya di pejabat. Serius aku katakan, banyak babak
cinta yang geli geleman diselitkan dalam drama. Mahu termuntah aku melihatnya.
“Jualan novel awak menurun ke?” Dia
meneka.
“Ya…” Aku menjawab perlahan.
Dia diam. Tangannya menyusun
helaian-helaian kertas di atas meja. Tanpa disangka, dia mengoyakkan
helaian-helaian kertas tersebut.
Aku sedikit terkejut melihatnya.
Namun aku tidak menghalang dia. Dia kemudian mengeluarkan satu plastik kecil
dari dalam beg lalu mengumpul dan memasukkan kesemua cebisan-cebisan kertas ke
dalamnya. Plastik yang kembung itu diikat ketat.
“Anggaplah awak tak pernah tulis
cerita ini.” Dia memberitahu.
“Okey…” ujarku ringkas.
“Jadi?” soalnya.
“Jadi?” Aku menyoal kembali.
“Saya pasti awak ada cerita pelik
dan aneh yang awak ingin beritahu kepada semua orang. Awak boleh ceritakan pada
saya, seperti biasa.” Dia mengukir senyuman manis.
“Saya beritahu cerita cinta, boleh
tak?”
“Cerita cinta? Awak tak suka cerita
cinta…”
Aku menggelengkan kepala. “Saya
suka. Saya nak tulis kisah bagaimana seorang gadis dari Malaysia bercita-cita
untuk berkahwin dengan lelaki Rusia, bila dia tengok Youtube dan nampak yang
lelaki Rusia ni kacak-kacak belaka,” gurauku.
Dia tertawa kecil. “Sayalah lelaki
itu, kan?”
“Jangan perasan, Ruslan Sakaev!”
“Hm…awak kena tulis bagaimana awak
tertarik dengan abang Aslan di media sosial. Dan bagaimana awak sanggup datang
ke Rusia untuk mencari keluarga abang Aslan dan menyampaikan amanatnya kepada
ahli keluarganya.”
“Ya. Dan saya juga akan ceritakan
bagaimana saya memanjat pagar rumah awak dan mengangkat kertas yang bertulis
‘Sudikah awak kahwin dengan saya?’” Aku menambah.
Ruslan menggenggam tanganku di atas
meja.
“Lihat, saya tak perlu jadi seorang
juruterbang untuk buat awak cintakan saya.”
“Ya...”
“Hm…lain kali sesi membaca draf ni
baik dilakukan di rumah sahaja,” ujarnya.
“Kenapa? Awak tahu saya nak jadi
sama macam JK Rowling yang bertemu ejennya di kafe,” ujarku dengan wajah minta
simpati.
“Itu JK Rowling dan ejennya. Kita
ini lain; suami isteri. Bincang di rumah pun sudah mencukupi.”
Aku memuncungkan mulut untuk
menunjukkan rasa tidak puas hati. “Tapi saya nak di sini…”
Aku pura-pura merajuk dan cuba
menarik keluar tanganku daripada genggamannya namun tidak berjaya. Dia senyum
lebar melihat kegagalan aku.
“Zafirah…” panggilnya.
“Kenapa?”
“Terima kasih, untuk segala-galanya.”
Ucapan terima kasihnya membuat aku
terkesima. Aku membalas senyumannya. Kali ini, giliran aku menggenggam
tangannya dengan erat. Tangannya hangat dan bersaiz besar, langsung berbeza
dengan tanganku. Selama aku berkahwin dengannya, dia sentiasa meletakkan aku
yang pertama dalam hidupnya. Oleh itu, aku ingin melindungi pemilik tangan ini,
buat selama-lamanya.
“Dah, mari kita balik. Lepas ni kena
ambil Aslan dan Zelimkhan dari sekolah.” Dia memberi kata putus.
“Baik,” ujarku, bagaikan askar yang
menurut arahan ketuanya.
“Macam pelik sahaja bunyi ‘Baik’
tu,” komennya.
Aku ketawa kecil.
Ya, walaupun aku tidak berkahwin
dengan juruterbang, walaupun aku tidak berkahwin dengan CEO syarikat, walaupun
aku tidak berkahwin dengan lelaki daripada keturunan kerabat diraja, aku tetap
bahagia.
oleh Farhanah Atiqah