Saturday 22 October 2016

M


“A..B..C…”

Satu langkah, dua langkah, tiga langkah.

“D..E..F…”

Tiga langkah, empat langkah, lima langkah.

Malik yang mendengar bunyi tapak kaki tersebut menggeletar ketakutan di bawah katil. Sebentar tadi dia mendengar bunyi kaca pecah di tingkat bawah. Dia yang sedang mandi di tandas sebelah lintang-pukang lari dalam keadaan telanjang lalu masuk bersembunyi di biliknya.

“G..H..I..”

Bunyi tapak kaki tersebut berhenti.

Krak! Pintu bilik dikuak.

“J..K..L..”

Pemilik tapak kaki tadi melangkah masuk ke dalam bilik.

“M…untuk makan…” ujarnya kemudian ketawa terkekeh-kekeh.

Dari bawah katil, Malik melihat kaki itu melangkah ke almari. Bunyi almari dibuka dan ditutup jelas kedengaran.

“M untuk… M untuk…” Kini pemilik kaki itu mendekati katil Malik. Langkahannya terhenti. Malik menahan nafas lalu menekup mulut.

Pemilik kaki itu berlutut lalu menjengukkan kepala ke bawah katil. Matanya memandang Malik.

“M untuk…Malik?” soalnya sambil menyeringai. Pisau di tangannya kini berada di hadapan muka.

Malik menjerit ketakutan. Kakinya menendang muka pemilik kaki itu sehingga pisau di tangan tertusuk ke wajah.

Pemilik kaki tersebut menjerit kesakitan. Malik lantas mengengsot keluar daripada bawah katil.

“Warggh!!!!” jerit Malik sambil berlari keluar dari biliknya.

*****

Ending dia?” Malik menyoal.

“Itulah ending dia,” jawabku.

“Itu je?”

“Ya.”

“Tak guna. Tulis ending dia baik-baiklah woi!”

oleh Farhanah Atiqah
~Ditulis untuk pertandingan certot FIXI namun tidak menang. Hehehehehe.

Pengkritik Nombor Satu



Aku menyedut jus oren perlahan-lahan. Sambil itu, mataku tidak lekang daripada memerhati ekspresi wajah lelaki di hadapanku. Lelaki berambut coklat tua itu sedang tekun membaca helaian demi helaian draf awalan novel yang aku tulis. Sesekali dahinya berkerut, menandakan ada kecacatan pada plot. Aku sudah terbiasa dengan keadaan itu.
             
30 minit kemudian, dia meletakkan kertas terakhir di atas meja. Aku lantas merapatkan tubuh pada meja. Jarak di antara mukaku dengan mukanya kini kurang daripada 40 cm. Jantungku berdegup pantas. Aku tidak sabar mahu mendengar pendapatnya mengenai draf ini. Walaupun baru 15 bab, draf ini aku tulis dengan penuh perasaan. Aku mahu komen yang positif daripadanya.
             
“Ma…macam mana?” Aku menyoal.
            
Lelaki itu tidak menjawab. Dia cuma merenungku.
             
Aku mulai resah. Diam lelaki ini bermakna ada banyak kepincangan dalam karyaku. Aku sudah maklum akan itu. Sudah hampir 6 tahun lelaki di hadapanku ini menjadi pembaca pertama setiap rangka novel yang aku tulis. Dan kerana dia menjadi pembaca pertama merangkap pengkritik pertamaku juga, aku bisa memperbaiki karya-karyaku, sekaligus menyelamatkan aku daripada menjadi bahan bebelan editorku.
            
Lelaki itu masih diam. Kemudian dia menghela nafas. Sangkaku, dia mahu mengatakan sesuatu namun dia memalingkan wajah ke arah lain, memandang ke luar tingkap kafe.
             
Aku tidak tahu sama ada dia sedang berfikir atau tidak. Yang aku tahu, sudah 10 minit dia membuang pandangan ke luar, melihat orang yang sedang lalu-lalang. Baru sahaja aku mahu memanggil namanya, dia mengembalikan pandangannya padaku. Mata kami bertautan seketika.
Aku mengetap bibir, merenung ke dalam anak matanya yang berwarna kelabu. Aku cuba membaca raut wajahnya, meneka apa yang terbuku di dalam hati lelakinya. Namun setiap kali itu juga cubaan aku gagal. Ekspresi wajah yang kosong dan bagaikan robot itu tidak bisa aku tafsirkan. Akhirnya aku mengaku kalah dan mengeluh perlahan. Melihatkan reaksi aku itu, dia berdehem dua kali.
            
“Cerita ini, pasal cikgu sekolah yang jatuh cinta dengan juruterbang, bukan?” dia menyoalku, mungkin untuk kepastian.
             
Aku mengangguk. “Ya.”
             
“Dalam bab 2, awak tulis yang cikgu sekolah tu bertemu dengan juruterbang buat pertama kali di dalam kapal terbang, betul tak?”
             
Pelik, mengapa dia menyoal sesuatu yang dia sudah tahu?
             
Namun aku mengangguk jua.
            
Dia menghela nafas.
             
“Tajuk draf ini, ‘Mr. Pilot, Kau Pujaan Hatiku!’ Tapi kenapa semua bab dalam draf ni kecuali bab 2 langsung tidak menunjukkan yang watak utama lelaki bekerja sebagai juruterbang? Tak ada langsung cerita bagaimana dia menerbangkan pesawat. Yang ada cuma cerita dating dia dengan cikgu sekolah itu sahaja. Pergi makan di restoran mahal, pergi majlis makan yang high class, pergi pantai, dan pergi membeli-belah,” kritiknya.
             
Aku ingin mencelah, namun dia memintas ayatku. “Oh ya, dan cikgu sekolah ini pun tak kelihatan seperti cikgu sekolah. Setiap kali babak dia di sekolah, mesti waktu itu loceng terakhir berbunyi, menandakan yang waktu sekolah sudah tamat. Tak ada babak dia ajar murid-muridnya, hadiri mensyuarat dengan guru, atau berjumpa dengan ibu bapa murid-murid. Memang cikgu sekolah di Malaysia macam tu ke? Kerja smooth sahaja dan tak ada masalah?” Bertubi-tubi tembakan soalan yang dia tujukan ke arahku. Aku pula tidak mampu menjawab soalannya. Lidahku bagaikan kelu mahu berkata-kata.
             
Dia menyambung lagi, “Awak mesti tak buat research pasal pekerjaan juruterbang dan cikgu sekolah, kan? Sebab tu awak tak dapat huraikan pasal kerja mereka dengan baik dan meyakinkan.”
             
Okey, aku mengaku yang aku tidak buat sebarang research mengenai kedua-dua pekerjaan ini. Aku cuma bergantung kepada drama-drama cerita di dalam televisyen dan novel-novel yang aku baca. Tapi itu tidak bermakna plot cerita yang aku tulis ini tidak menarik.
             
Hei, watak utama lelaki itu juruterbang, tahu? Bukan setakat juruterbang biasa, tetapi juruterbang yang budiman, romantis, dan sudah semestinya kacak! Bukan itu sahaja, dia juga daripada golongan berada yang bangsawan, dengan nama ‘Tengku’ di hadapannya. Nama kedua dan ketiganya pula ala-ala robot gitu, Iqbal Azfar.
            
Ramai wanita dan anak-anak gadis di Malaysia mengimpikan perkahwinan dengan juruterbang yang sempurna seperti Iqbal Azfar. Mereka tidak kisah jika mereka tidak tahu apa yang dilakukan oleh juruterbang ketika mengendalikan pesawat. Mereka mahukan cerita yang boleh memenuhi fantasi mereka. Sebab itulah aku menulis cerita ini!
            
“Kenapa diam?” soalnya kepadaku. “Betul, kan?”
             
“Apa yang betul?” Kasar aku menyoal. Kritikannya membuat hatiku panas.
             
Dia tersenyum. “Awak menulis untuk memenuhi fantasi cinta wanita dan gadis-gadis di luar sana.”
             
Hebat! Dia boleh meneka apa yang aku cuba lakukan.
             
Senyumannya semakin meleret. Dia seolah-olah sedang mengejek aku. Saat ini kurasakan seperti mahu mencakar mukanya. Namun aku tahankan sahaja rasa itu. Aku menarik nafas dalam-dalam, cuba menenangkan diri. Kemudian aku larikan wajahku daripada terus memandangnya. Pandangan kini kulontarkan ke luar tingkap, kepada orang yang sedang lalu-lalang di luar sana.
             
Aku seperti terdengar keluhannya.
             
“Awak tak pernah tulis cerita macam ni. Awak biasanya tulis cerita yang aneh dan ganjil, genre triler dan misteri. Kenapa tiba-tiba awak tulis cerita cinta?” Suaranya dalam dan tenang sahaja tatkala mengajukan soalan tersebut. Bagaikan air, suara itu menyimbah api di dalam hatiku.
             
“Zafirah…” Lembut dia memanggil namaku. “Perhatikan lelaki dan perempuan yang sedang berpegangan tangan itu.”
             
Aku mengacukan pandangan pada seorang lelaki bertubuh rendah dan agak berisi. Tangannya mengenggam tangan pasangannya, seorang wanita bertubuh tinggi dan kurus. Mereka sedang berjalan sambil berbual. Sesekali wanita itu tertawa, dia kelihatan bahagia. Aku mengukir senyuman.
             
“Saya pasti lelaki itu bukan juruterbang. Tapi lihat, walaupun lelaki itu bukan juruterbang, wanita di sebelahnya itu gembira bersamanya. Dia tidak perlu menjadi seorang juruterbang yang kacak dan romantis untuk menggembirakan pasangannya,” ujar lelaki di hadapanku.
             
Aku memalingkan muka ke arahnya. Mataku kini menatap setiap inci wajahnya.
             
“Awak tak perlu tulis sesuatu yang awak tak suka. Jangan menulis untuk memuaskan hati orang lain. Apa yang awak fikirkan semasa awak menulis cerita ini?”
             
Aku tertunduk. Gelas kaca berisi ketulan ais batu kurenung lama. Aku lalu mengeluh.
             
“Saya nak meramaikan pembaca saya. Saya tulis cerita cinta sebab tak ramai perempuan suka plot yang saya tulis aneh dan ganjil yang saya tulis.” Aku berkata jujur.
             
“Ha…hahahahaha” Tawanya berderai. Aku cepat-cepat memandang ke kiri dan ke kanan, mahu melihat andai tawanya itu menarik perhatian pelanggan di situ. Beberapa orang lelaki yang duduk selang beberapa meja daripada kami memandang ke arah kami berdua. Aku segera menundukkan kepalaku, tanda meminta maaf. Salah seorang daripada mereka yang kukira sebaya ayahku kemudian menaikkan tangan, menunjukkan thumbs up kepada kami. Aku tidak faham kenapa dia berbuat sebegitu. Mungkinkah dia cuba memberitahu aku yang dia tidak terganggu dengan tawa lelaki di hadapanku ini?
             
“Zafirah, Zafirah…”
             
“Kenapa?”
             
“Saya ingat sebelum ini awak cakap awak menulis agar orang lain mendengar apa yang awak mahu sampaikan. Awak pernah cakap yang suara awak tak dapat sampai kepada mereka. Sebab itu awak gunakan medium penulisan untuk menyampaikan pendapat dan isi hati awak. Kenapa tiba-tiba awak menulis untuk memuaskan hati orang pula? Di mana awak letakkan pendirian awak?”
             
Soalannya kena tepat di hatiku.
             
Betul apa yang dia katakan. Mengapa aku menukar diriku sendiri? Mana perginya pendirian aku? Sebelum ini, aku kerap bertekak dengan editorku yang mahu aku menulis cerita cinta romantis dan klise. Namun aku selalu sahaja membantah cadangannya. Entah kenapa hari itu bila dia memberitahu yang jualan novel aku menurun, aku jadi gelabah. Aku jadi tidak keruan. Dia juga memberitahu aku yang aku kekurangan pembaca perempuan. Lantas, dalam keadaan kelam-kabut aku terus ke kedai buku untuk membeli beberapa buah novel cinta klise dan membaca mereka satu-persatu. Terasa menyeksakan apabila harus membaca sesuatu yang kita tidak suka.
             
Aku turut memaksa diri menonton drama-drama cinta Melayu klise yang disiarkan di televisyen. Ada tajuk drama ala-ala Islamik, namun di mana bahagian Islamiknya aku pun tidak tahu. Tidak kurang juga dengan drama yang heronya kaya-raya namun apa yang dibuatnya cuma duduk memikirkan gadis idamannya di pejabat. Serius aku katakan, banyak babak cinta yang geli geleman diselitkan dalam drama. Mahu termuntah aku melihatnya.
             
“Jualan novel awak menurun ke?” Dia meneka.
           
“Ya…” Aku menjawab perlahan.
             
Dia diam. Tangannya menyusun helaian-helaian kertas di atas meja. Tanpa disangka, dia mengoyakkan helaian-helaian kertas tersebut.
             
Aku sedikit terkejut melihatnya. Namun aku tidak menghalang dia. Dia kemudian mengeluarkan satu plastik kecil dari dalam beg lalu mengumpul dan memasukkan kesemua cebisan-cebisan kertas ke dalamnya. Plastik yang kembung itu diikat ketat.
            
“Anggaplah awak tak pernah tulis cerita ini.” Dia memberitahu.
             
“Okey…” ujarku ringkas.
             
“Jadi?” soalnya.
             
“Jadi?” Aku menyoal kembali.
             
“Saya pasti awak ada cerita pelik dan aneh yang awak ingin beritahu kepada semua orang. Awak boleh ceritakan pada saya, seperti biasa.” Dia mengukir senyuman manis.
             
“Saya beritahu cerita cinta, boleh tak?”
             
“Cerita cinta? Awak tak suka cerita cinta…”
             
Aku menggelengkan kepala. “Saya suka. Saya nak tulis kisah bagaimana seorang gadis dari Malaysia bercita-cita untuk berkahwin dengan lelaki Rusia, bila dia tengok Youtube dan nampak yang lelaki Rusia ni kacak-kacak belaka,” gurauku.
             
Dia tertawa kecil. “Sayalah lelaki itu, kan?”
             
“Jangan perasan, Ruslan Sakaev!”
             
“Hm…awak kena tulis bagaimana awak tertarik dengan abang Aslan di media sosial. Dan bagaimana awak sanggup datang ke Rusia untuk mencari keluarga abang Aslan dan menyampaikan amanatnya kepada ahli keluarganya.”
            
“Ya. Dan saya juga akan ceritakan bagaimana saya memanjat pagar rumah awak dan mengangkat kertas yang bertulis ‘Sudikah awak kahwin dengan saya?’” Aku menambah.
             
Ruslan menggenggam tanganku di atas meja.
             
“Lihat, saya tak perlu jadi seorang juruterbang untuk buat awak cintakan saya.”
            
“Ya...”
             
“Hm…lain kali sesi membaca draf ni baik dilakukan di rumah sahaja,” ujarnya.
             
“Kenapa? Awak tahu saya nak jadi sama macam JK Rowling yang bertemu ejennya di kafe,” ujarku dengan wajah minta simpati.
             
“Itu JK Rowling dan ejennya. Kita ini lain; suami isteri. Bincang di rumah pun sudah mencukupi.”
             
Aku memuncungkan mulut untuk menunjukkan rasa tidak puas hati. “Tapi saya nak di sini…”
             
Aku pura-pura merajuk dan cuba menarik keluar tanganku daripada genggamannya namun tidak berjaya. Dia senyum lebar melihat kegagalan aku.
             
“Zafirah…” panggilnya.
             
“Kenapa?”
             
“Terima kasih, untuk segala-galanya.”
             
Ucapan terima kasihnya membuat aku terkesima. Aku membalas senyumannya. Kali ini, giliran aku menggenggam tangannya dengan erat. Tangannya hangat dan bersaiz besar, langsung berbeza dengan tanganku. Selama aku berkahwin dengannya, dia sentiasa meletakkan aku yang pertama dalam hidupnya. Oleh itu, aku ingin melindungi pemilik tangan ini, buat selama-lamanya.
             
“Dah, mari kita balik. Lepas ni kena ambil Aslan dan Zelimkhan dari sekolah.” Dia memberi kata putus.
             
“Baik,” ujarku, bagaikan askar yang menurut arahan ketuanya.
             
“Macam pelik sahaja bunyi ‘Baik’ tu,” komennya.
             
Aku ketawa kecil.
             
Ya, walaupun aku tidak berkahwin dengan juruterbang, walaupun aku tidak berkahwin dengan CEO syarikat, walaupun aku tidak berkahwin dengan lelaki daripada keturunan kerabat diraja, aku tetap bahagia. 

oleh Farhanah Atiqah           

Aku Sebatang Pen

Aku sebatang pen berjenama Kilometrico. Aku dilahirkan di sebuah kilang di Selangor. Badanku berwarna hitam, sama seperti dakwatku.

Aku kemudian dimasukkan ke dalam kotak bersama rakan-rakanku yang lain. Kami dihantar ke sebuah kedai alat tulis di Terengganu. Selepas dikeluarkan dari kotak, aku dan rakan-rakanku disusun di atas rak yang menempatkan pelbagai jenis pen jenama lain. Aku sempat berkenal-kenalan dengan mereka semua.

Dua hari kemudian, seorang remaja lelaki datang ke kedai tersebut. Dia membelek-belek aku dan rakan-rakanku yang ada di atas rak. Kemudian, dia memutuskan untuk membeliku.

Setibanya di rumah, dia memasukkan aku ke dalam kotak pensilnya. Aku hanya digunakan ketika dia mahu mencatat nota atau membuat kerja sekolah.

Suatu hari, tuan aku membeli sebatang pen baru yang cantik. Dia memberikan aku kepada adiknya yang masih bersekolah rendah.

Adiknya seorang yang cuai. Dia selalu meletak aku di merata-rata tempat hinggalah suatu hari dia terlupa mengeluarkan aku daripada poket seluarnya. Aku dicuci bersama-sama pakaian-pakaian lain di dalam mesin basuh.

Selepas ibunya mengeluarkan aku dari dalam mesin basuh, ibunya memberi aku kepada tuan aku yang mula-mula kembali. Namun begitu, dakwatku sudah pun kering. Aku akhirnya dibuang ke dalam tong sampah.

Tamatlah riwayat aku sebagai sebatang pen.

oleh Farhanah Atiqah

~Karangan ringkas.... :D